Kamis, 21 Oktober 2010

Senyuman Rasulullah Banyak Bantu Misi Dakwah

BUKAN sukar untuk menghadiahkan senyuman tetapi kita sendiri menyukarkan
senyuman itu terpamer di wajah. Hati mana tidak tenang apabila sedang
dalam kekusutan, masih lagi boleh tersenyum kepada rakan. Senyuman itu
...adalah ciptaan indah Allah SWT, malah senyuman juga adalah kuntuman
indah yang sentiasa dipersembahkan Rasulullah SAW, manusia sempurna yang
patut diteladani segala sifat, sikap dan tingkah lakunya.



Ada beberapa hal menarik pada diri Baginda SAW yang jarang diungkapkan
ramai iaitu mengenai senyumnya. Sepintas lalu, hal itu mungkin nampak
kecil dan tidak bererti tetapi apabila dikaji, sebenarnya senyuman
Rasulullah SAW memberi impak positif yang sungguh luar biasa. Hikmahnya,
banyak kejayaan Rasulullah SAW dalam misinya sebagai penyebar risalah
tauhid disebabkan oleh senyuman dan keramahan Baginda.
Disebabkan itu, Rasulullah SAW dapat mempengaruhi orang ramai
sehinggakan Baginda dicintai dan disegani kawan, juga lawan. Sahabat
adalah saksi kehidupan Rasulullah SAW yang penuh dengan senyuman. Antara
sahabat besar yang pernah menceritakan betapa indahnya senyuman
Rasulullah SAW ialah Saidina Umar. Kata Saidina Umar,

“Rasulullah SAW tersenyum dan Baginda adalah orang yang paling
bagus giginya.”
(Hadis diriwayatkan Ibnu Hibban)

Seorang lagi sahabat Rasulullah SAW, Abdullah bin Al-Harist menyatakan,


“Tidak
pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada
Rasulullah SAW.”
(Hadis
riwayat At-Tirmizi)



Cucu kesayangan Baginda SAW, Saidina Husein juga ada menggambarkan
bagaimana sikap Rasulullah mana direkodkan oleh Imam At-Tirmizi, beliau
berkata,

“Aku bertanya kepada ayahku (Saidina Ali) mengenai adab dan
etika Rasulullah SAW terhadap orang yang bergaul dengan Baginda. Ayahku
mengatakan: Baginda senantiasa tersenyum, budi pekerti lagi rendah hati,
Baginda bukanlah seorang yang kasar, tidak suka berteriak-teriak, bukan
tukang cela, tidak suka mencela makanan yang tidak disukainya. Siapa
saja mengharapkan pasti tidak akan kecewa dan siapa saja yang memenuhi
undangannya pasti akan sentiasa puas.”

Rasulullah SAW walaupun dalam keadaan marah, tetap mempamerkan
senyumannya hatta kepada orang yang tidak disukai. Perkara itu pernah
direkodkan Imam Bukhari disebutkan bahawa Saiditina Aisyah berkata:

“Ada seorang lelaki yang meminta izin untuk bertemu dengan
Rasulullah SAW. Ketika Baginda melihat orang itu dari jauh, maka Baginda
bersabda: Dia adalah seburuk-buruk saudara dan anak dalam kerabat.
Namun ketika orang (Uyainah) itu sudah duduk, Baginda memberikan
senyuman di wajah dan menerima dengan baik hati kedatangan orang itu.
Ketika orang itu sudah pergi, Aisyah berkata kepada Rasulullah SAW:
Wahai Rasulullah, ketika kau melihat orang itu tadi dari jauh engkau
berkata begini dan begitu. Tapi kemudian engkau berwajah ceria setelah
berada di hadapannya dan menerima kedatangannya dengan baik hati.
Kemudian Rasulullah bersabda: Wahai Aisyah, bilakah engkau melihatku
berbuat tidak baik?”


Imam al-Khataby ketika mensyarahkan hadis itu berkata, “Hadis ini dilihat dari sudut adab
dan ilmu”. Ucapan Rasulullah SAW mengenai diri Uyainah
sesuatu gambaran yang tidak disukainya secara jelas disebut Ghibah.
Ghibah berlaku di antara sebahagian orang dari umat Islam terhadap
sebahagian yang lain. Namun, perlakuan Baginda adalah menjelaskan dan
mengungkapkannya dalam bentuk nasihat dan kasih sayang terhadap umatnya.
Kerana Baginda sudah dianugerahi sifat kemurahan hati dan akhlak yang
baik, maka Baginda memperlihatkan wajah berseri dan tidak menghadapi
kesukaran berhadapan orang tidak disukainya. Baginda bertindak sebegitu
supaya umat Islam meniru perbuatan Baginda, supaya dapat dihindari
keburukan yang boleh menimpa umatnya dan mereka boleh selamat daripada
kejahatan dan tipu daya.
Begitu indah akhlak Rasulullah SAW, walaupun seseorang itu tidak
disukai, Baginda tetap mempamerkan senyuman dan menyambut kedatangan
Uyainah dengan ceria. Sebagai umatnya yang mengaku bahawa Baginda adalah
sebaik-baik manusia dan seorang nabi dan rasul, tidakkah kita malu
kerana tidak mengikut perbuatan Baginda yang sentiasa menghadiahkan
senyuman kepada orang ramai.
Sesungguhnya beruntunglah mereka yang mengikuti perbuatan Rasulullah
kerana harga senyuman tidak ternilai dengan wang ringgit. Ketegasan
Baginda juga dapat dilihat dalam hadis diriwayatkan Imam Bukhari dan
Muslim mengenai wanita dari kabilah Makhzumiyah yang mencuri. Kaum
Quraisy bingung dengan permasalahan itu kerana mereka tahu hukuman
pencuri mengikut undang-undang Islam ialah dipotong tangan (mengikut
syarat ditetapkan).
Mereka bertanyakan kepada sesiapa yang berani berjumpa Rasulullah SAW
memohon melepaskan wanita itu. Usamah disarankan bertemu Rasulullah SAW
kerana Rasulullah menyayangi Usamah. Maka Usamah pergi dan berbicara
kepada Rasulullah SAW untuk minta pembelaan atas wanita itu. Kemudian
Rasulullah SAW bersabda:

“Jadi kamu ingin memohon syafaat (pembelaan) terhadap salah
satu dari hukum Allah?”


Setelah mengucapkan ayat itu, Baginda berdiri dan berkhutbah:

“Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat
sebelum kalian ialah apabila mereka mendapati ada orang mulia yang
mencuri, mereka membiarkannya. Tetapi apabila mereka mendapati orang
lemah di antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman
kepadanya. Demi Allah! Jika Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya
aku akan memotong tangannya”.


Oleh itu, marilah kita menjadikan senyuman dan ketegasan Rasulullah SAW
sebagai panduan dan pada masa sama menilai hikmah di sebaliknya.
Senyumlah, kerana senyuman tidak pernah mengurangkan rezeki sesiapa,
malah dengan senyuman hati berasa tenang dan sentiasa disenangi orang
lain. Sementara bertegaslah dalam keadaan perlu supaya agama tidak
diperkotak-katikkan.


Ctt: ikhwan dari desa
edisi ke 17
Lihat Selengkapnya

Ikhwan Dari Desa

Tidak ada komentar: